Hukum Perkahwinan Dalam Islam.

Perkahwinan dalam islam telah disyariatkan oleh Al-Quran, Sunnah dan Ijma' Ulama'. Firman Allah,

'Dan kahwinilah orang-orang bujang lelaki & perempuan) dari kalangan kamu dan orang-orang yang soleh dari kalangan hamba-hamba kamu lelaki dan perempuan'.
(Surah An-Nur : 32)

Dalil pensyariatan dari Sunnah, bersabda Rasulullah,

'Wahai para pemuda, sesiapa di antara kamu yang mampu memikul tanggungjawab perkahwinan, hendaklah dia kahwin. Sesungguhnya perkahwinan itu menahan pandangan dan memelihara kemaluan (kesucian). Bagi sesiapa yang tidak mampu (berkahwin) maka hendaklah dia berpuasa, kerana puasa itu dapat menahan nafsunya'. (H.R.Bukhari & Muslim)



Para ulama' telah membuat penentuan hukum dengan berdasarkan kepada kedudukan dan kemampuan seseorang untuk mendirikan rumah tangga. Para ulama' telah membahagikannya kepada 4 jenis hukum iaitu:

1.  Fardhu.

Para ulama' menyatakan bahawa sesuatu perkahwinan akan menjadi fardhu bila seseorang individu itu yakin bahawa jika tidak berkahwin dia pasti akan terlibat dalam kancah perzinaan. Bagi sesetengah individu pula sama ada dengan melakukan ibadah puasa atau ibadah-ibadah yang lainnya masih tidak dapat mencegah atau menahan keinginan nafsunya untuk melakukan zina, maka dalam situasi ini hukum melangsungkan perkahwinan menjadi lebih fardhu. Menjaga kesucian dan maruah diri dari melakukan perbuatan yang ditegah oleh agama adalah menjadi satu kewajipan setiap muslim. Individu yang berhadapan dengan situasi ini diwajibkan berkahwin demi untuk menjaga kehormatan diri dan agama, ini kerana perkahwinan sahajalah yang dapat menghalangnya dari melakukan perbuatan zina. Selain dari itu individu tersebut juga mestilah berkemampuan untuk menyempurnakan mas kahwin, nafkah untuk isteri serta lain-lain tanggungjawab sebagai seorang suami dalam sebuah rumah tangga seperti yang dituntut oleh syara'.



2.  Haram.

Sesuatu perkahwinan itu akan menjadi haram atau berdosa jika dilangsungkan juga apabila individu tersebut berkeyakinan dia pasti akan melakukan kekerasan, kezaliman dan ketidakadilan ke atas isterinya serta mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang suami. Maksud pengabaian tanggungjawab di sini adalah seperti tidak dapat menyediakan tempat tinggal yang sempurna, memberi pakaian, makanan, jaminan kesihatan dan keselamatan serta lain-lain keperluan asas yang sepatutnya seperti yang dituntut oleh syara' ke atas setiap suami.

3.  Makruh.

Sesuatu perkahwinan itu dianggap makruh apabila seseorang itu merasa bimbang bahawa berkemungkinan dia akan melakukan kezaliman atau kekerasan serta tidak dapat menyempurnakan tanggungjawab atau memberikan keadilan ke atas diri isterinya tetapi kebimbangannya itu tidaklah sampai ke tahap pasti atau benar-benar yakin. Kebimbangan kepada sifat buruknya itu hanyalah berdasarkan kepada kemungkinan sahaja di mana ianya mungkin benar berlaku atau mungkin juga tidak akan berlaku. Bagi pendapat Imam Syafie beliau mengatakan bahawa sesuatu perkahwinan akan menjadi makruh apabila seseorang lelaki yang berkahwin itu berada dalam keadaan uzur yang serius, seperti faktor usia yang terlalu lanjut atau masalah kesihatan seperti mati pucuk ataupun mengidap penyakit yang tidak mungkin sembuh.



4.  Sunnah.

Pada pendapat jumhur ulama' kecuali Imam Syafie' mengatakan, perkahwinan dianggap sunnah apabila seseorang lelaki itu berada dalam keadaan normal iaitu tiada apa-apa kebimbangan atau kemungkinan pada dirinya untuk melakukan zina sekali pun ia memilih untuk terus membujang dan tidak berkahwin. Di samping itu juga tiada kebimbangan atau kekhuatiran pada dirinya untuk melakukan kezaliman dan kekerasan terhadap isterinya jika dia berkahwin. Keadaa normal adalah situasi di mana kebanyakkan orang melangsungkan perkahwinan mereka. Pada pendapat Imam Syafie beliau mengatakan, bagi perkahwian seseorang lelaki yang berada dalam keasaan normal hukumnya adalah harus iaitu dia bebas menentukannya sendiri sama ada memilih untuk terus berkahwin atau tidak. Imam Syafie menambah, walau bagaimana pun jika seseorang lelaki itu memilih untuk tidak berkahwin, adalah lebih baik dia menumpukan kepada beribadah ataupun menuntut ilmu.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen