Anak 5 Tahun Hanya Dibenarkan 1 jam Masa Skrin Sehari? Ketahui Garis Panduan Penggunaan Gajet

Oleh: Zuzu Yasmine

Apabila melangkah sahaja ke alam keibubapaan, anda pasti tahu setiap dilema yang dihadapi ibu bapa; daripada pemilihan susu, sekolah, makanan dan pelbagai lagi keputusan yang perlu dibuat. Membuat keputusan mengenai si kecil anda bukanlah mudah, apatah lagi jika keputusan tersebut mungkin memberi kesan jangka masa panjang untuk mereka. Dengan kemunculan penggunaan gajet atau alat elektronik yang kini ditargetkan untuk kanak-kanak, mungkin akan timbul pula persoalan sama ada ia akan memudaratkan atau tidak.

Anak-anak zaman kini sukar sememangnya terlalu dekat dengan gadget. Mana tidaknya, celik-celik mata sahaja mereka sudah melihat televisyen, telefon bimbit ataupun laptop. Hinggakan kalau mereka ini tidak dikawal dengan baik tahap penggunaan gadget akan membuatkan mereka ketagihan yang melampau lalu membantutkan tumbesaran mereka.



Apa kata pakar?

Terlalu banyak masa skrin bermakna kurang masa dihabiskan kanak-kanak menjadi aktif, yang boleh memudaratkan perkembangan kemahiran mereka. Garis panduan American Academy of Pediatrics sebelum ini adalah jelas dan tegas. Dilarang sama sekali untuk kanak-kanak di bawah usia dua tahun, dan hadkan kepada kurang daripada dua jam sehari untuk kanak-kanak berumur 3 hingga 18 tahun.

Tetapi tak usahlah kita menipu diri sendiri, kebiasaan remaja bawah 18 tahun mengahabiskan masa berjam-jam dengan gajet sementara si kecil anda yang berusia 2 tahun mungkin lebih mahir menekan butang ‘play’ pada youtube berbanding diri anda sendiri. Bahkan mungkin ada ibu bapa yang mengatakan “Saya dulu sewaktu kecil pun tengok kartun 5 jam di hujung minggu,” dan merasakan mereka membesar dengan baik tanpa masalah perkembangan.

Jadi, garis panduan apa yang sepatutnya diikuti? Sebagai permulaan, anda bukanlah satu-satunya orang yang mendapati topik ini mengelirukan. Perdebatan tentang kanak-kanak dan teknologi masih menjalani penelitian dan penyelidikan oleh ahli akademik dan pembuat dasar. Sebagai contoh, United Kingdom telah mengumpulkan bukti bertulis dan lisan daripada pakar untuk menyelesaikan pertanyaan parlimen mengenai kesan media sosial dan masa skrin pada kesejahteraan kanak-kanak yang sehingga kini masih berterusan dan belum mencapai kata putus.

Salah satu masalah dengan garis panduan tentang masa skrin, menurut pakar, adalah masalah bahawa masa skrin itu sendiri adalah konsep yang tidak jelas. Walaupun kita mudah untuk melabelkan semua masa skrin sebagai sama, sebenarnya ia tidak. Masa skrin adalah konsep yang mencakupi pendedahan kepada skrin pelbagai alat elektronik, dari televisyen ke telefon pintar dan gajet lain, dengan atau tanpa internet.

Jelasnya, 10 perbualan video tidak akan mempunyai kesan yang sama seperti menonton 10 minit video dalam talian atau 10 minit yang dihabiskan untuk media sosial. Disebabkan itu, garis panduan American Academy of Pediatrics yang dikemaskini pada tahun 2016 mencerminkan aturan yang sangat longgar yang harus diubahsuai oleh ibu bapa sendiri:

• Bagi kanak-kanak di bawah umur 18 bulan, masa skrin harus dihadkan kepada perbualan video sahaja

• Kanak-kanak 18-24 bulan hanya boleh didedahkan kepada media berkualiti tinggi, dengan ibu bapa menonton bersama untuk membantu mereka memahami dan berinteraksi dengan bahan tontonan

• Kanak-kanak 2-5 tahun harus dihadkan kepada 1 jam sehari dengan program yang berkualiti tinggi. Ibu bapa juga harus mengawasi bersama mereka untuk membantu mereka berinteraksi

• Kanak-kanak berumur 6 tahun dan ke atas harus mempunyai had masa skin yang ditetapkan secara konsisten, dengan ibu bapa memastikan bahawa media digital tidak mengambil masa tidur, aktiviti fizikal atau interaksi peribadi sebenar

Garis panduan berikut mungkin lebih longgar dan mencerminkan keperluan ibu bapa menetapkan had mereka sendiri. Mengetahui beberapa parameter boleh membantu anda membuat keputusan. Berikut adalah beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan:



Berhubung atau terlebih berhubung?

Membenarkan telefon pintar ke dalam kehidupan anak-anak anda bermakna rumah tidak lagi menjadi tempat selamat daripada semua perkara yang berlaku dalam lingkungan sosial mereka. Buli siber adalah ancaman yang kerap berlaku bagi kanak-kanak dan remaja bersekolah. Membenarkan telefon pintar boleh bermakna membenarkan pembuli dibawa ke rumah.

Anda juga harus mempertimbangkan jika masa skrin mempengaruhi perkembangan personaliti anak anda. Adakah media sosial memberi kepuasan peribadi kepada anak-anak anda dengan jumlah ‘like’ dan pengikut yang mereka miliki? Adakah ia menjejaskan keinginan mereka untuk membina persahabatan yang sebenar diluar talian?

Semua ini perlu dipertimbangkan dengan menetapkan masa bebas gajet bersama-sama, seperti waktu makan malam atau dalam kenderaan, serta lokasi khusus bebas gajet di rumah, seperti bilik tidur. Anda juga harus berkomunikasi berterusan tentang etika netizen dan keselamatan dalam talian, termasuklah melayan orang lain dengan hormat dalam dan luar talian. Selain ancaman dibuli, anak anda sendiri berpotensi menjadi pembuli.



Kandungan, pengawasan dan interaksi bersama

30% daripada internet adalah pornografi dan pemangsa seksual mungkin bersembunyi di tempat yang tidak anda sangka seperti permainan video. Selain itu, imej badan yang sempurna, kulit sempurna dan pakaian berjenama yang digambarkan dalam talian juga boleh menjadi toksik kepada anak gadis anda yang semakin membesar.

Disebabkan itu, kandungan yang anda benarkan dalam hidup anak anda lebih penting berbanding menentukan masa skrin itu sendiri. Bahkan masa skrin pasif boleh ditukar menjadi aktif dengan permainan video yang mempromosikan aktiviti seperti menari dan bersenam. Dalam kajian membandingkan penggunaan tenaga sewaktu masa skrin, penggunaan tenaga meningkat lebih daripada dua kali ganda apabila masa skrin pasif ditukar kepada masa skrin aktif.

Tetapi kandungan sahaja tidak mencukupi, perkembangan kanak-kanak memerlukan interaksi, disebabkan itu, penekanan pada interaksi bersama digariskan dalam panduan tersebut. Dalam satu kajian, bayi berusia sembilan bulan yang menerima beberapa jam pengajaran bahasa Mandarin dari manusia hidup boleh mengasingkan unsur fonetik tertentu bahasa tersebut sementara pengajaran video yang sama tidak dapat memberikan hasil yang sama.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen