"Siapa Kata Bila Ada Gastrik Tak Boleh Puasa?" Pegawai Farmasi Ini Kongsi Tips Berpuasa Buat Mereka Yang Milik Gastrik.

Oleh: Zuzu Yasmine

Bila bulan puasa tiba nanti, ramailah pesakit gastrik akan mula timbul dengan alasan tidak mampu berpuasa ataupun tidak mampu menahan lapar. Selalu bukan kita dengar alasan sakit gastrik apabila bulan puasa ini. Bukan itu sahaja, kita juga beranggapan bahawa orang yang mempunyai sakit gastrik ini tidak mampu berpuasa seperti orang lain.

Buat anda yang memiliki sakit gastrik, selepas ini anda boleh berpuasa seperti biasa tanpa perlu menanggung rasa sakit sepanjang waktu. Untuk mengetahui cara yang betul untuk berpuasa bagi mereka yang miliki gastrik ini, mari sama-sama baca perkongsian seorang Pegawai Farmasi, Dr. Mohd Dziehan Mustapa.



Siapa Kata Gastrik Tidak Boleh Berpuasa
(Ulang siar artikel Mei 2018)

Bulan Ramadhan akan kita tempuhi tidak lama lagi. Bagi pesakit yang sering menghadapi keadaan gastrik pasti akan mempunyai masalah untuk berpuasa dalam bulan Ramadhan.

Kerap kali juga gastrik dikaitkan dengan keadaan tidak boleh lapar seterusnya menyebabkan pesakit tidak menjalankan kewajiban Rukun Islam ke tiga iaitu ibadat berpuasa dalam bulan Ramadhan.

Adakah benar gastrik membataskan seseorang itu untuk menunaikan ibadah puasa? Apakah itu penyakit gastrik dan gejalanya?

Gastrik atau gastritis sering dikaitkan dengan gejala pedih atau sakit pada bahagian perut atau ulu hati. Secara umumnya gastritis adalah keadaan apabila berlakunya keradangan pada lapisan permukaan dalam perut.

Pesakit yang mempunyai masalah gastrik ini sering mengadu ketidakselesaan pada perut. Antaranya adalah sakit perut, sakit di bahagian ulu hati, kerap bersendawa, perut berasa kembung, rasa loya dan hendak muntah, hilang selera makan atau susut berat badan dan mutah darah atau najis yang keluar bewarna hitam.

Individu yang kerap mengadu sakit perut ketika perut kosong atau lapar, menandakan bahawa asid gastrik terlalu banyak dirembeskan dalam perut dan jika seseorang individu itu mengadu sakit perut selepas makan, ia mungkin menandakan berlakunya masalah ulser perut kerana lapisan permukaan dalam perut terluka atau mengalami keradangan.


Rawatan ubat-ubatan yang boleh membantu?


Jika mengalami gejala seperti yang dinyatakan di atas, pesakit perlulah merujuk kepada doktor yang bertauliah untuk mendapatkan rawatan.



Antara ubat yang diberikan dalam merawat penyakit gastritis ini adalah antasid. Antasid secara umumnya merupakan kumpulan ubat-ubatan yang mengurangkan rasa sakit perut atau pedih ulu hati akibat gastritis.

Cara antasid bertindak adalah dengan mengurangkan tahap keasidan dalam perut. Antara contoh ubat antasid adalah magnesium trisilicate (ubat minum) atau dikenali juga sebagai ubat kapur dalam kalangan pesakit, campuran sodium alginate, sodium bicarbonate calcium carbonate (ubat minum), campuran magnesium oxide, aluminium dioxide, dimethylpolysiloxane (tablet yang perlu dikunyah sebelum telan), campuran sodium bicarbonate, magnesium carbonate, tincture cardamom compound (ubat minum), sodium bicarbonate mixture (untuk kanak-kanak dalam bentuk cecair) dan aluminium hydroxide (tablet yang perlu dikunyah sebelum telan).

Selain daripada itu, ubat antihistamin seperti ranitidine dan cimetidine atau perencat pum proton seperti esomeprazole dan pantoprazole juga diberikan kepada pesakit yang mempunyai penyakit gastritis.

Pesakit gastritis juga ada yang dipreskripsikan oleh doktor dengan antibiotik. Ini adalah kerana lebih kurang 80% pesakit gastritis adalah disebabkan oleh bakteria Helicobacter pylori (H.pylori) dalam perut.

Pesakit yang diberi rawatan menggunakan antibiotik perlulah menghabiskan antibiotik yang diberikan agar serangan gastritis tidak berulang kembali disebabkan oleh jangkitan bakteria.

Namun, mohon semua ambil maklum. Rawatan menggunakan antibiotik ini hanya atas arahan doktor dan telah disahkan mengalami jangkitan bakteria Helicobacter pylori (H.pylori) dalam perut. Jangan pula senang-senang nak cuba rawat sendiri dengan membeli antibiotik tanpa arahan doktor yang merawat. Antibiotik hanya boleh dibeli dengan preskripsi doktor.


Tanggapan dan amalan yang tidak betul.


Ramai pesakit yang beranggapan puasa adalah punca kepada tercetusnya serangan gastritis yang kerap semasa dalam bulan Ramadhan.

Perkara ini dikaitkan dengan faktor tidak mengambil makanan menyebabkan tahap asid meningkat dalam badan. Namun fakta sebenarnya, semasa berpuasa, sistem penghadaman berehat dan rembesan asid gaster menurun.

Oleh itu masalah sakit atau perut berasa senak kesan rembesan asid gaster yang tinggi adalah tidak benar. Selain daripada itu pengambilan ubat tahan sakit kerap diamalkan apabila mengalami serangan gastrik untuk mengurangkan rasa sakit.

Pada hakikatnya pesakit perlu mengetahui bahawa pengambilan ubat tahan sakit ketika serangan gastrik akan menerukkan lagi keadaan.




Selain daripada itu ubat tahan sakit seperti ibuprofen, naprofen, asid mefenamik dan aspirin jika diambil secara berterusan dalam jangka masa lama juga boleh menyebabkan radang pada lapisan mukosa perut.

Perkara ini disebabkan oleh bahan aktif yang terkandung dalam ubat tahan sakit boleh mengurangkan penghasilan prostaglandin, seterusnya menyebabkan permukaan dalam perut mudah terhakis dengan asid gaster.

Bukan ubat tahan sakit sahaja bertindak sedemikian, sesetengah ubat tradisional juga mempunyai komponen bahan kimia yang boleh menyebabkan pengurangan penghasilan prostaglandin seterusnya menyebabkan kesan yang sama iaitu kurang perlindungan kepada hakisan asid gaster terhadap lapisan mukosa perut.


Elakkan ketika berpuasa.


Sakit perut semasa berpuasa bukan disebabkan oleh penyakit gastritis, tetapi lebih kepada tabiat pemakanan yang tidak bersesuaian ketika berbuka puasa.

Antara makanan yang harus dielakkan ketika berbuka puasa oleh pesakit gastritis adalah makanan bergoreng, makanan dalam tin (kerana kandungan asid yang tinggi), minuman berkarbonat, makanan yang mempunyai asid yang tinggi (limau, oren, tomato), makan makanan yang pedas, makan dengan kuantiti yang banyak dan mengambil minuman yang mengandungi kandungan kafein yang tinggi seperti kopi dan teh.



Selain daripada itu amalan seperti merokok selepas berbuka atau tidur sebaik sahaja selesai sahur atau berbuka juga boleh menyebabkan serangan gastritis dalam kalangan pesakit.


Tips untuk pesakit gastritis ketika berpuasa


Bagi pesakit gastritis dinasihatkan agar mempercepatkan berbuka puasa selepas masuk waktunya. Mulakan berbuka puasa secara ringan dengan mengambil kurma, sedikit kuih atau buah-buahan dan minuman air kosong.



Selepas itu tunaikan solat maghrib terlebih dahulu sebelum mengambil makanan yang lebih berat selepas itu.

Hidangan berbuka puasa dan bersahur pula harus dielakkan kategori makanan seperti yang dinyatakan di atas agar proses pencernaan makanan mudah berlaku seterusnya menghindari serangan.

Bagi pesakit gastritis, dinasihatkan juga agar melewatkan waktu bersahur tidak mengamalkan bersahur sebelum masuk tidur pada malam hari.



Pesakit dinasihatkan untuk mengambil ubat yang diberikan pada waktu sahur jika arahan pengambilannya adalah sekali sehari. Manakala untuk ubat dengan arahan pengambilan 2 kali sehari pula, pesakit dinasihatkan untuk mengambil ubat tersebut pada waktu sahur dan berbuka selepas mengambil makanan.

Sekiranya ubat tahan sakit dipreskripsikan dan perlu diambil semasa bulan puasa, pesakit dinasihatkan untuk mengambil ubat tahan sakit ini selepas bersahur dan selepas berbuka puasa dalam bulan ramadhan bagi mengelakkan kesan sakit perut.

Sewajarnya pengambilan ubat tahan sakit dalam bulan puasa perlu dikurangkan. Justeru ubat tahan sakit yang perlu diambil ‘jika perlu’ harus dielakkan pengambilannya jika pesakit tidak lagi merasa sakit.

Selain daripada itu, pesakit gastritis harus peka dan tidak boleh mengabaikan tanda-tanda awal atau sekadar merawat gejalanya sahaja tanpa mendapatkan rawatan sewajarnya daripada pengamal perubatan.

Jika ubat antasid kerap digunakan untuk jangka masa panjang untuk mengatasi masalah sakit perut atau pedih ulu hati, ditakuti masalah sebenar punca kepada gejala tersebut seperti jangkitan bakteria H.pylori tidak dirawat dan akan menjadi bertambah serious seperti terjadinya ulser dalam perut.

Kesimpulan.

Menghidapi masalah gastritis tidak bermakna seseorang individu muslim itu tidak boleh berpuasa.

Berpuasa sebenarnya adalah baik untuk kesihatan. Pesakit dinasihatkan mengambil ubat setiap hari pada waktu waktu sahur atau berbuka mengikut arahan pengambilan ubat yang telah diberikan oleh ahli farmasi yang mendispen ubat tersebut.

Pengambilan ubat untuk gastritis yang telah dipreskripsikan oleh doktor dengan betul dapat memastikan pesakit dapat menjalankan ibadah puasa sepeti biasa.

Namun jika terlupa mengambil ubat gastritis, ibadah puasa masih boleh diteruskan jika pesakit tidak mengalami gejala gastritis yang telah diterangkan sebelum ini. Walau bagaimanapun jika pesakit mengalami sakit perut dan sakit ulu hati yang teruk ketika berpuasa terutama pada waktu tengahari atau lewat petang, maka diharuskan untuk berbuka puasa dan menggantikan puasa tersebut kerana dikhuatiri jika diteruskan berpuasa dalam keadaan seperti ini boleh mendatangkan kemudaratan.

Justeru pesakit gastritis boleh berpuasa seperti biasa dan bebas daripada sakit perut dan ulu hati ketika waktu berpuasa jika amalan pemakanan dan mengambil ubat dengan cara yang betul seperti yang disarankan dalam artikel ini.

Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre – NPCC) di talian 1 800-88-6722.

Pegawai Farmasi Anda
Mohd Dziehan Mustapa
Medical Mythbusters Malaysia (M3)

Nota; Gambar daripada Google image

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen