Hukum Menunjukkan Kemesraan Suami Isteri Di Media Sosial, Tak Semua Orang Gembira Anda Bahagia.

Oleh: Zuzu Yasmine

Mempamerkan kemesraan di media sosial bukanlah satu perkara yang asing lagi pada masa ini. Masing-masing cuba untuk beritahu kepada orang lain bahawa mereka adalah pasangan yang paling bahagia, tidak kiralah sudah berkahwin atau belum. Masing-masing memang berlumba-lumba.

Dengan pelbagai pose yang sememangnya tidak kekok dan malu untuk ditayangkan kepada umum. Itu belum lagi termasuk bab aurat pasangan iaitu isteri.

Mungkin telah menjadi satu kebiasaan dan menganggap bahawa perkara itu tidak menyusahkan sesiapa malah hubungan suami isteri itu sudah sah. Namun begitu, dengan memuat naik gambar kemesraan sesama suami isteri, jika ia gambar yang tidak berlebihan dan tidak menaikkan nafsu syahwat orang lain, maka ia adalah tidak mengapa.

Tapi, jika gambar tersebut keterlaluan seperti bercumbu atau berpelukan, maka ia adalah tidak dibolehkan.



Apa Kata Islam

Menurut beberapa pandangan jumhur ulama’ berkenaan sikap keterbukaan ini ialah, ia perlu dilakukan secara berpada-pada dan menghormati maruah masing-masing, baik pasangan mahupun perasaan orang yang melihatnya.

Ustaz Azhar Al-Idrus pernah diajukan soalan berkaitan isu ini, menjawab bahawa perkara yang terjadi di dalam rumah, tidak perlu ditunjukkan secara umum, cukup sekadar pasangan sahaja yang mengetahuinya.



Malah, menurut Mufti Wilayah Kelantan, beliau menyifatkan bahawa tindakan menunjukkan kemesraan di media sosial secara melampau adalah tidak wajar dilakukan. Hal ini kerana, ia bukan sahaja menyentuh sensitiviti mata-mata yang memandang, namun ia juga dikatakan dapat menjatuhkan maruah sesetengah pihak terutamanya pasangan itu sendiri.

Secara umumnya, akaun media sosial itu adalah milik persendirian namun pada realitinya ia dikongsi bersama dengan mereka yang mengikut (follow) anda. Oleh itu, etika di media sosial perlu diterapkan dan diambil berat oleh segenap masyarakat.

Di zaman sekarang, semuanya ingin dikongsi di media sosial. Malah, ada yang menganggap bahawa sesebuah perkongsian itu mampu membuktikan sejauh mana kebahagiaan yang dirasai.

Walau bagaimanapun, menurut beberapa pakar kaunseling, mereka menyatakan bahawa kebahagiaan yang sebenar itu cukuplah dirasai oleh diri sendiri. Malah, mereka yang cenderung untuk meluahkan perasaan di media sosial dikatakan mempunyai sifat yang kurang sihat kerana bimbang boleh menimbulkan penyakit terlalu inginkan perhatian daripada semua orang.

Malah, menurut pandangan jumhur ulama’ lagi menafsirkan bahawa dalam diri manusia itu terkandung satu sifat yang boleh melindungi diri sendiri, iaitu malu.



Malu ini biarlah bertempat. Jika keterlaluan mempunyai sifat malu sehingga tidak mampu melakukan kerja dengan baik, ia akan menimbulkan masalah-masalah lain.

Namun, malu yang dinyatakan di sini ialah malu yang boleh mengawal perlakuan seseorang itu daripada bersikap secara berlebihan dan malu yang boleh membendung diri kita untuk menjadi manusia yang punya etika dan akhlak yang baik.

Sama ada etika di media sosial atau tidak, semuanya saling berkait rapat. Jika tiada perasaan malu, anda boleh melakukan apa sahaja, hatta memuat naik gambar yang tidak bersesuaian di media sosial dan boleh bercumbu di khalayak ramai tanpa segan silu.

الْإِيمَانُ بِضْعٌ وَسَبْعُونَ شُعْبَةً، وَالْحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنَ الْإِيمَانِ
Maksud: “Iman itu ada tujuh puluh lebih cabang. Dan rasa malu salah satu cabang dari iman.”

(Hadis Riwayat Muslim, no.35)

Kesimpulan

Tidak salah ingin menunjukkan tanda penghargaan kepada isteri atau suami anda dengan menulis tulisan yang manis-manis di layar skrin dan tidak salah untuk menghiraukan pandangan orang yang melihatnya.

Namun, gunakanlah kata-kata dan bahasa yang baik kerana ia mencerminkan diri anda yang menggunakannya serta muat naik gambar yang sopan yang tidak mengundang fitnah dan menjatuhkan maruah pasangan mahupun ahli keluarga anda.




Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen